Kuasa dan Kebolehan Sailor_Saturn

Sebagai seorang Srikandi Sailor, dia memakai pakaian berwarna ungu. Senjata yang menjadi simbolnya ialah Sabit Kesepian. Senjata ini memiliki kuasa yang sangat luar biasa, yang mampu memusnahkan planet atau bintang. Kehebatan kuasa inilah yang menyebabkan kemunculannya digeruni Srikandi Sailor jalur luar Sistem Suria.

Di dalam anime, pada masa lampau, iaitu semasa wujudnya Nusa Bulan, semua srikandi sailor (termasuklah Neptune, Uranus dan Saturn) tinggal bersama. Hanya Sailor Pluto yang tinggal di perbatasan masa dan ruang, menjaga pintu laluannya. Selepas Kerajaan Gelap dimusnahkan oleh Permaisuri Serenity, semua srikandi Sailor dan Puteri Serenity dilahirkan semula ke Bumi.

Namun, di dalam manga, srikandi Sailor jalur luar Sistem Suria berada di pos jagaan mereka di hujung Sistem Suria dan hanya menyaksikan kemusnahan Nusa Bulan jauh dari sana. Selepas itu, Senjata mereka (Pedang Angkasa milik Sailor Uranus, Cermin Lautan milik Sailor Neptune dan Tongkat Masa milik Sailor Pluto) saling bergabung dan membangkitkan srikandi Pemusnah, iaitu Sailor Saturn yang akhirnya membunuh mereka semua dan saki-baki Nusa Bulan, supaya mereka dilahirkan semula bersama srikandi Sailor yang lain.

Serangan Sailor Saturn adalah seperti "Death Reborn Revolution" (Putaran Maut dan Kelahiran Semula) yang mana, di dalam manga, digunakan untuk memusnahkan ketua kejahatan Death Buster, iaitu Pharaoh 90. Di dalam anime pula, kuasanya hanya ditunjukkan di dalam siri Bintang, dan kuasanya adalah seperti "Silent Wall" (Tembok Sepi) dan "Silent Glaive, Surprise" (Kejutan Sabit Sepi). Serangan keduanya di dalam anime adalah serangan terkuatnya yang akan mengorbankan nyawanya. Dia hampir menggunakan kuasa ini semasa pertarungannya dengan Nehelenia, namun dihalang oleh Sailor Chibi Moon.